
Minggu ini dan minggu depan banyak majlis jamuan diadakan di sekolah. Bagi mak-mak terutama yang bekerja selalu tercari-cari menu apa yang nak dibawa untuk anak bersekolah ini. Kalau boleh yang mudahlah kan.
Nak senang boleh buat sandwic menarik ini. Tak perlu masak beli roti saja. Tapi pastikan guna roti butterscotch dan coklat kismis untuk dapat warna ini. Untuk filling boleh sapu dengan jem strawberi dan chocolate peanut butter. Menarik idea dikongsi oleh Syahirah Adnan ini kan.
Sandwic mudah buat dan confirm laris untuk jamuan sekolah anak
Caranya:
1. Beli 1 bungkus roti butterscotch dan 1 bungkus roti coklat kismis ( 2 bungkus roti ini boleh dapat satu box sandwich, ada lebih lagi roti butterscotch).
2. Sapu jem strawberi atau strawberi filling pada satu keping roti coklat.
3. Sapu chocolate peanut butter pada sekeping lagi roti coklat.
4. Letak atau tindih roti butterscotch di bahagian tengah kemudian potong 4 bentuk X. Boleh buang tepi kulit roti. Siap!
Selamat mencuba.
Sumber: Syahirah Adnan
Cara Buat Suhun Goreng, Rasanya Lagi Sedap & Lebih Sihat. Buat Pun Senang, Bahan Potong, Terus Tumis

Bagi yang sedang mengamalkan pemakanan sihat atau mahu turunkan berat badan boleh pilih hidangan suhun ini. Berbanding bihun suhun ini lagi rendah kolesterol dan lemak.
Salah satu hidangan suhun yang sedap yang boleh kita sediakan adalah suhun goreng. Cara nak buat pun mudah. Tak perlu kisar bawang cili bagai. Semua potong dan goreng saja tapi rasanya dah cukup sedap. Cara membuatnya dikongsi oleh Naomy Chow.
Cara buat suhun goreng, ringkas tapi sedap sangat
Bahan-bahan
Suhun
Bawang putih dicincang
Udang kering- ditumbuk
Cendawan shitake – dihiris
Kubis panjang -dipotong
Tauge (jika suka) & daun bawang
Telur
Karamel masakan
Kicap cair
Cara membuat:
1. Rendam suhun dengan air paip sehingga lembut & tos.
2. Tumis udang kering, bawang putih hingga naik bau.
3. Pecahkan telur dan kacau.
4. Masukkan kubis panjang dan cendawan. Kacau.
5. Masukkan suhun yang sudah lembut bersama karamel masakan, kicap cair sedikit garam dan serbuk perasa. Gaul sebati. Jika suhun masih keras ketika menggoreng, renjiskan dengan air dan gaul.
6. Akhir sekali masukkan tauge dan daun bawang. Gaul sebati. Sedia dihidangkan.
Hidangkan suhun goreng dengan cili padi potong dan kicap.
Selamat mencuba.
Sumber: Naomy Chow.
Cara Mudah Tanam Kentang, Dalam Polibeg Pun Menjadi. Tip Isi Banyak, Kena Tambah Tanah

Selalu kita beli saja di kedai runcit, tapi sebenarnya kalau suka bercucuk tanam kentang pun kita boleh tanam sendiri.
Kalau ada tanah lapang boleh buat batas tapi kalau tiada boleh juga tanam dalam polibeg, tiada masalah. Cara penanamannya pun mudah, untuk benih beli saja kentang di kedai tu ya.
Dikongsi oleh Mahadzir Hashim ini cara penanaman kentang jika ingin cuba tanam di rumah.
Cara mudah tanam kentang di laman rumah
Keperluan untuk menanam kentang :
- Ubi kentang
- Tanah sebagai media penanaman batas atau polibeg
- Baja NPK
- Sungkupan (bahan tambahan jika ada ie. cocopeat)
Langkah penanaman
Langkah-langkah menanam kentang dan penjelasannya seperti di bawah.
1. Cambahkan ubi
Kumpulkan ubi kentang yang sudah mempunyai beberapa tunas pada setiap biji. Susun ubi kentang secara menegak di dalam bekas atau kotak. Letakkan di dalam bilik yang gelap selama 2 minggu. Pada peringkat ini, ubi kentang tidak perlu disiram. Selepas 2 minggu, pucuk akan mula keluar dari tunas pada ubi kentang.
2. Sediakan batas
Ukuran batas yang terbaik ialah dengan kedalaman 6 – 8 inci dan jarak antara batas 2-3 kaki. Bagi penanaman dalam polibeg paling sesuai ialah 24 x 24 inci.
3. Tanam ubi
Bagi penanaman di atas batas, aturkan ubi kentang dengan jarak 1 – 2 kaki antara setiap ubi.
Bagi penanaman di dalam polibeg pula, isi tanah di dalam polibeg sebanyak separuh daripada ketinggian polibeg tersebut. Tanam satu ubi atau satu potongan tunas sahaja di dalam setiap polybag. Kemudian, kambus ubi dengan ketinggian tanah kira-kira 4 inci.
4. Siraman dan pembajaan
Penyiraman dan pengairan amat penting bagi tanaman kentang. Pastikan tanaman kentang mendapat kadar air secukupnya dengan tanah sentiasa lembap tetapi tidak menakung air.
Kedua-dua jenis pembajaan organik dan kimia sesuai diberikan kepada tanaman kentang. Baja organik boleh dicampurkan dalam tanah sebelum penanaman dilakukan. Kadar pembajaan kimia pula ialah NPK Biru dengan kadar 0.5 kg per 100 kaki persegi.
Pembajaan perlu dimulakan 2 minggu selepas menanam dan diulangi setiap 4 minggu kemudiannya. Hentikan pembajaan 2 minggu sebelum menuai.
5. Tambah tanah
Bagi tanaman kentang, penambahan tanah adalah perlu. Berlainan dengan tanaman makanan lain lebih-lebih lagi bagi pokok kentang yang ditanam di dalam polibeg.
Tanah perlu ditambah 3 – 4 inci lebih tinggi dari permukaan tanah sedia ada. Tujuannya ialah untuk membanyakkan penghasilan kentang oleh pokok kentang.
6. Tuai
Pokok kentang mengambil masa 70 – 120 hari untuk matang dan menghasilkan ubi. Tuaian boleh dilakukan apabila daun pada pangkal tanaman mula menguning.
Selamat mencuba
Sumber:Mahadzir Hashim
Tip Tanam Kobis, Lagi Besar Pasu, Lagi Besar Buah

Sayur kobis memang banyak saja dijual tapi bagi yang suka bercucuk tanam merasa hasil tanaman sendiri adalah satu kepuasan dan kejayaan.
Lagi satu bercucuk tanam ini satu terapi termasuklah tanam kobis yang kalau kita tengok saiznya besar dan cantik.
Jadi macam mana nak tanam? Jom ikut panduan yang diturunkan oleh Halimah Abd Kadir.
Ilmu tanam kobis
Kobis ni tanaman yang manja dan perlu dibelai selalu, macam suami kita jugak. Kalau dah mula tanam, kena siram pagi petang, gemburkan tanah setiap 2 hari, bubuh baja setiap 2 minggu.
Musuh utamanya siput dan belalang yang ni memang kena periksa selalu, kalau tidak, memang berlubang-lubanglah daunnya. Nak tahu cara tanamnya? Saya kongsikan ya.
1. Seperti biasa semai dulu benih kobis. Dah ada daun 4 helai baru pindah ke pasu besar. Kenapa mesti guna pasu besar?
Sebab kobis akan ikut saiz pasu, besar pasunya, besarlah buahnya.
2. Sebelum itu nak ingatkan lubang pasu perlu ditutup dengan kaca pecah atau batu supaya bila tanah dah padat, air masih dapat mengalir keluar dari celah-celah lubang pasu yang ditutup dengan kaca tadi.
3. Mulakan tanam dari dasar pasu. Letak tanah sikit kemudiaan tanam. Bila nampak dah tinggi sikit, tambah tanah lagi separas leher daun. Anak kobis perlu letak di tempat teduh dulu tau. Nanti bila daunnya dah banyak, baru boleh letak tempat sederhana panas.
4. Letak baja 15 15 15 atau Milagro. Alhamdulillah, saya guna baja Milagro saja sebab baja nii inn syaa Allah jenis tahan lasak sebab pokok kurang kena penyakit. Itu pengalaman saja menggunakannya hampir setahunlah.
5. Ok, bila nampak anak kobis dah tinggi dalam 2cm, kita tambah tanah lagi separas leher daun. Ulang proses yang sama, sampai kobis dah melebihi paras pasu. Dah besar gini, bolehlah letak kat tempat panas ya.

INFO
Kesilapan banyak berlaku bila newbie membiarkan pokok kobis tinggi menjulang. Tolong jangan lakukan ini! Sebab jika dibiarkan tinggi, bagaimana pokoknya nak tampung berat kobis.
Sumber: Halimah Abd Kadir