
Nasi sejuk selain dari buat nasi goreng, letak dalam cucur kita juga boleh buat apam nasi.
Ada dua cawan lebihan nasi pun dah boleh buat apam nasi. Caranya boleh ikut perkongsian Rashida CikDa. Lagi mudah resepi ini guna sukatan cawan saja, hasilnya memang lembut dan gebu.
Buat sendiri apam nasi
Bahan-bahan
2 cawan nasi
2 cawan tepung beras
2 cawan tepung gandum
1 1/2 cawan gula
2 SDK yis
2 1/2 cawan air
Cara membuat:
1. Kisar nasi bersama gula dan air hingga hancur sebati.
2. Dalam bekas lain, campur semua tepung dan masukkan sekali yis.
3. Curah nasi yang dikisar tadi dalam tepung. Gaul sebati.
4. Bahagikan adunan dan warnakan jika nak apam nasi berwarna.
5. Perap selama tiga jam.
6. Masukkan dalam acuan dan kukus selama 10-15 minit untuk acuan kecil atau 45 minit untuk loyang besar.
7. Dah masak boleh hidang dengan kelapa parut atau makan begitu saja pun sedap.
Selamat mencuba.
Sumber: Rashida CikDa.
Cara Buat Biskut Makmur Gebu Guna Sukatan Cawan. Sedapnya Cair Di Mulut

Biskut Makmur antara biskut raya yang ramai penggemarnya. Dapat pula yang gebu dan bila dimakan cair di dalam mulut. Ahhh…sedapnya.
Nak dapat biskut makmur yang sedap begini sebenarnya boleh saja kita buat sendiri. Ikut saja resipi yang dikongsi oleh penjual biskut makmur Nora Afida ini. Resipinya guna sukatan cawan jadi lagi mudah nak buat.
Biskut Makmur Gebu, Sedapnya Cair Di Mulut:
Bahan untuk doh:
4 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula kastor
1/4 cawan susu tepung (tak kisah jenama)
3 sudu besar buttercup / minyak sapi – cairkan dulu & tunggu sejuk
Minyak jagung secukupnya
Bahan inti:
500 gm kacang tanah
Minyak jagung secukupnya
Cara membuat:
1.Sangai tepung gandum di atas kuali. Sangai tanpa minyak, hingga naik bau.
2.Campurkan tepung gandum tadi bersama gula kastor, butter/minyak sapi yang dah dicairkan (pastikan butter/minyak sapi dah sejuk lepas dicairkan), susu tepung. Gaul rata.
3.Masukkan sedikit demi sedikit minyak jagung ke dalam adunan. Masukkan secukupnya hingga tepung adunan boleh digentel dengan cantik. Kalau nak biskut tu jadi gebu, pastikan doh tidak berderai masa digentel.
4.Untuk inti biskut makmur, sangai kacang tanah tanpa minyak. Buang kulitnya dan kisar kacang, terpulang nak kisar halus mahupun kasar. Nak tumbuk pun boleh. Tambahkan gula secukup rasa.
5.Campurkan dengan sedikit minyak jagung atau mazola ke dalam kacang yang dah dikisar tadi. Tujuannya supaya doh tak berderai masa gentel nanti.
6. Bakar dengan suhu 150˚ selama 20 minit.
7. Dah siap bakar biarkan biskut suam sikit dan golekkan biskut makmur ke dalam gula icing.
8. Boleh susun dalam balang bila biskut dah sejuk. Masukkan dalam balang yang kedap udara.
Selamat mencuba
Sumber: Nora Afida
2 Cara Mudahkan Anak Darjah Satu Tukar Jadual Sendiri, Tak Perlulah Ibu Bapa Buat Tiap Malam

Isi Kandungan
ToggleAda anak darjah satu tahun ini? Dah tentu jadi rutin setiap malam ibu bapa untuk menukar jadual pembelajaran mereka.
Situasi ini akan berlanjutan berbulan-bulan lamanya selagi ibu bapa yang mengajar anak. Ada yang sampai hujung tahu masih melakukannya untuk anak baik untuk sekolah kebangsaan dan juga sekolah agama.
Dalam masa yang sama kita tahu, anak perlu diajar atau dilatih untuk melakukannya sendiri. Paling penting ibu bapa kena cari cara untuk memudahkan anak ini menukar sendiri jadual mereka. Dua cara berikut antara yang boleh digunakan oleh ibu bapa. Pilih mana satu yang sesuai.
1. Tulis semula jadual ikut susunan mudah faham dan frame
Cara pertama dikongsi oleh Ummu Noor Atikah Hashim, jadual ditulis semula dalam susunan yang mudah difahami anak kemudian ‘diframekan’.
“Masa anak saya Tahun 1 lagi saya dah buatkan jadual kelas begini untuk anak. Tahun ni anak dah Tahun 2, minggu pertama saja saya tolong salinkan jadual, selepas itu anak dah boleh buat sendiri,” katanya
Tulis jadual kemudian letak dalam frame macam ni sangat memudahkan anak saya untuk salin jadual sendiri. Boleh follow kalau rasa practical untuk anak ya ibu sekalian.
Tambahnya lagi jika jadual kelas anak bertukar pun tiada masalah cuma tulis yang baru dan frame.
2. Masuk semua buku dalam satu fail dan tulis hari
Tip kedua dikongsi oleh Fariha Norbaya. Beliau menggunakan sistem fail untuk anak.
Caranya sediakan 1 fail untuk 1 subjek. Beli fail yang boleh memuatkan buku teks sekali dengan buku latihan. Senang untuk dimasukkan semua buku & saiznya muat untuk masuk beg sekolah. Pada fail itu letak label :
-Nama anak
-Nama kelas
-Subjek
-Hari
Anak cuma perlu lihat hari yang tertera pada fail dan terus masukkan dalam beg. Setiap fail ini sudah berisi semua buku yang berkaitan satu-satu subjek dan masuk dalam beg.
Risiko untuk tertinggal buku juga kurang dengan cara ini. Malah buku juga lebih terjaga katanya.
Ibu bapa boleh ikut mana satu cara yang lebih mudah, tapi yang pasti kena ajar anak untuk melakukannya.
Sumber: Fariha Norbaya, Ummu Noor Atikah Hashim
Selain Keratan Batang, Pokok Kari Boleh Tanam Guna Buah Kari. Lagi Banyak Pokok Boleh Dapat

Jika ada menanam pokok kari dan sudah berbuah boleh manfaatkan untuk hasilkan lebih banyak pokok kari dengan cara menyemai buah tersebut.
Ramai yang tak tahu selain menggunakan keratan, kita sebenarnya boleh tanam pokok kari melalui buah kari ini. Malah kaedah ini paling sesuai jika nak menghasilkan pokok dalam jumlah yang banyak.
Cara semaian pokok kari melalui buah ini juga mudah. Panduannya dikongsi oleh Eddy Rusdi Abdullah. Menurut beliau ini kali kedua dia menanam pokok kari melalui buah dan memang menjadi.
Cara tanam pokok kari guna buah kari
1. Pokok kari yang suddah besar akan mengeluarkan bunga kemudian buah. Pilih buah yang sudah matang untuk disemai iaitu buah yang berwarna gelap atau kehitaman.
2. Boleh petik dan terus tanam, elakkan dari jatuh supaya buah tak rosak.
3. Cara semai, cuma buat sedikit saja lubang di tempat semaian dan terus masukkan buah kari. Tak perlu kambus.
4. Selepas 2 minggu biji yang disemai akan bercambah.
5. Pokok yang sudah mengeluarkan daun boleh dialihkan ke pasu yang diisi dengan medium cocopeat dan tanah organik.
6. Lakukan siraman 2 kali sehari, pokok kari suka banyak air. Lagi banyak air lagi gemuk dan besar daunnya. Tapi pastikan air tidak bertakung.
TIP
- Letak pokok kari tempat redup tapi kena cahaya matahari.
- Baja 1 atau 2 minggu sekali. Kalau kurang besar cari baja subur, kalau kurang daun cari baja lebatkan daun.
Selamat mencuba.
Sumber: Eddy Rusdi Abdullah