
Rendang ayam basah atau yang banyak kuah ramai penggemarnya. Rendang begini sesuai sangat kalau suka menyicah.
Selain makan dengan nasi, rendang ayam basah ini boleh cicah dengan roti jala, pulut kuning atau paling senang lempeng saja. Cara membuatnya dikongsi oleh Noor Ali.
Cara buat rendang ayam basah
Bahan-bahan
1 ekor ayam
4 labu bawang besar*
5 ulas bawang putih*
3 inci halia*
3 inci lengkuas*
1 sb serbuk kunyit*
1 genggam cili api*
2 senduk rata cili kering kisar *
5 batang serai (dititik)
3 sb ketumbar
2 sb jintan
2 sb serbuk kari ayam
1 cawan santan kotak
Air
4 sb kerisik
2 helai daun kunyit (dimayang)
Garam secukupnya
1 asam keping
Cara membuat:
1. Kisar ahan-bahan bertanda * dan ditumis bersama serai hingga agak garing. Masukkan ketumbar, jintan,serbuk kari ayam.
2. Kacau sekata kemudian masukkan ayam. Kacau dan biarkan seketika hingga terbit airnya.
3. Masukkan santan dan air dan masaklah hingga likat.
4. Perlahankan api, biarkan seketika.
5. Seterusnya masukkan kerisik, daun kunyit, asam keping, garam. Sesuaikan rasa dan kacau hingga rendang masak.
Sumber: Noor Ali.
Ada 6 Anak Lelaki Tapi Rumah Kemas & Teratur, Boleh Ikut 5 Cara Yang Ibu Ini Amalkan

Isi Kandungan
ToggleAnak dua orang pun rumah boleh jadi huru hara, ini kan pula ada tujuh, enam orang pulak tu lelaki. Memang hebatlah kalau ada mak yang dapat pastikan rumah kemas dengan anak-anak yang ramai macam ni.
Tapi semua ini tak mustahil, ada saja kaum ibu yang memang ada sistem khas untuk pastikan rumah sentiasa kemas. Macam perkongsian yang dibuat oleh Khairul Hakimin Muhammad.
Ada 7 anak, 6 lelaki
Itu hari saya duduk dengan seorang ibu yang dah lama pencen dari sector perguruan. Beliau ini ramah ya ampun. Asalnya beliau merupakan seorang peserta kelas brownies beberapa tahun lalu. Namun sekarang dah jadi macam kawan.
Beliau bersembang tentang 4 orang menantunya yang berbagai-bagai ragam. Seronok mendengarnya. Ibu kepada 7 orang anak ini, punya 6 orang anak lelaki dan seorang sahaja anak perempuan.
Yang sulong itu anak gadisnya yang sudah punya 3 orang anak, kemudian ada 3 anak lelaki yang sudah berkahwin. Yang lain masih bujang trang-tang-tang.
Dalam banyak-banyak hal yang kami sembang, beliau nasihatkan saya tentang saya kena bertegas dengan orang rumah bab-bab mengemas, bab mencuci dan sebagainya kena bertegas walau beliau seorang yang bekerja. Kalau tak bekerja lagilah kena kuat tegasannya itu.
Suami tegas bab rumah kena kemas
Beliau kata, sepanjang jadi guru dan 10 tahun terakhir dapat jadi pengetua, beliau dapat suami yang sangat tegas bab itu.
Oleh kerana anak lelaki pula sangat ramai, dan memang susah ya amat nak pastikan rumah itu sentiasa kemas, namun sebagai isteri memang kena kreatif bab-bab menguruskan rumah. Sebab, semua inilah menunjukkan kebijaksanaan seorang wanita.
Kita memang boleh cakap “suami, tolonglah sama mengemas juga,” Itu boleh kata dalam mimpi pun susah nak jumpa. Memang ada, namun susah. Jadi dah bertukar status sebagai isteri, beliau cakap beliau reda sahaja namun kena kreatif.
5 perkara yang dilakukan. Ini yang saya belajar. Sebab suami tak suka nak mengemas seperti dia, dan dia juga seorang yang bekerja dan penat ya ampun menjadi seorang guru ini. Di sekolah dah beratus anak murid, di rumah ada 7 orang yang jenis terbang nakal bukan main. Jadi beliau buat ini;
1. Beli banyak organizer
Beli banyaknya organizer untuk baju, seluar dalam, seluar, baju tidur, baju sukan, baju sekolah dan segala-gala untuk anak-anak ini beliau beli jenis rak macam toyogo yang ada laci itu. Seorang anak, ada 1 organizer dan mereka kena uruskan semuanya sendiri termasuk mencuci, melipat dan memasukkannya di dalam organizer tersebut. Tak ada baju, memang kena libas kerana boleh jadi tak ke sekolah.
2. Beli ampaian untuk baju-baju yang mahu digosok
Ampaian ini perlu ada beberapa, senang untuk anak-anak gantung baju dan ambil sahaja. Oleh kerana rezeki beliau punya anak perempuan yang jadi anak sulong, maka si kakak ini banyak tanggungjawab membantu adik-adik dan beliau bersyukur kerana dari si kakak ini kecil lagi beliau sudah ajar untuk enjoy buat kerja.
Si kakak ini memang jadi ratu gosok baju untuk adik-adik. Mana yang cari pasal dengan kakak, pastinya tak akan digosok bajunya. Jadi semua kena behave dan layan kakak baik-baik.

3. Bakul mainan dan stor
2 perkara ini benda penting yang wajib ada dalam rumah. Bakul mainan ini perlu diajar kepada anak-anak tentang apabila ambil, kena simpan semula. Kalau tidak, buang. Jadi ibu, bab ini kena bertukar menjadi rasaksa. Biasanya anak-anak sangat sayangkan mainan mereka, jadi jika mereka tidak kemas, kasi buang. Namun, kalian ‘buang’ diam-diam dalam stor.
Setelah beberapa lama, hadiahkan mainan tersebut kepada orang lain. Ia lebih bermanfaat dari membuangnya. Anak akan dapat pengajaran, ibu bapa juga tidak membazir.
4. Hari Jumaat adalah hari bersih bagi semua bilik

Wajib letak dalam bakul kain seperti cadar, sarung bantal, dan segala jenis mak nenek pakaian yang belum dicuci termasuk tuala. Sekiranya tak buat, terus penjarakan mereka untuk bermain di padang selama 1 minggu. Ia memang menjadi dengan sangat baik dan semua anak-anak lelaki cikgu ini sangat menjaga bilik mereka sendiri.
5. Sediakan sabun, pencuci muka segala pencuci
Sentiasa sediakan sabun, pencuci muka, pencuci segala semuanya kepada anak-anak. Dan di dalam bilik air, yang ini tak payah kedekut. Pastikan anak belajar tentang kebersihan. Dan ianya akan melekat di jiwa anak-anak. Sampai ke tahap, nanti akhirnya anak sendiri akan tahu tentang pentingnya bersih, tentang pentingnya menyusun semua perkara.
Beliau cerita yang mana anaknya yang kecil-kecil, apabila beliau sudah didik abang dan kakak yang dah besar, yang kecil-kecil akhirnya mengikut. Rumahnya sentiasa kemas walau anak-anak banyak mainan. Dirinya sendiri juga tak stress suruh laki bantu kemas.
Iya benarlah, isteri cerdik yang solehah, penyejuk mata, penawar hati, hahaha. Macam lagu. Namun, itu semua betul, kan? Rumah kita adalah yang memberi hilangnya gelisah, ianya disempurnakan oleh isteri yang cerdik, bijak dalam mengatur segalanya di dalam rumah.
Itulah emak-emak kita semua. harapnya isteri kita juga akan begitu selama-lamanya! Cewah!
Sumber: Khairul Hakimin Mohamad
Kalau Tanam Serai Dalam Pasu Tanam Secara Serong Supaya Pokok Lagi Cepat Besar

Isi Kandungan
ToggleKalau ada yang nak tanam serai dalam pasu di rumah boleh ikut tip yang dikongsi oleh Mohd Amri ini.
Berkongsi panduan penanaman serai dalam pasu, beliau menyenaraikan langkah demi langkah yang perlu dilakukan dari peringkat semai sampailah pembajaan.
Salah satu tip yang dipraktikkan adalah menyemai benih serai secara serong bagi mempercepatkan pertumbuhan pokok. Penjelasan lanjut boleh ikut perkongsian dari beliau ini.
Tip ringkas tanam serai dalam pasu
Setiap kali beli di kedai atau pasar beli serai, balik-balik nanti kering dan kecut. Apa kata kali ini, sahabat beli lebih sedikit untuk masak dan cuba tanam sendiri. Cukup sekadar satu pasu pun dah ok sangat untuk kegunaan sendiri.
Antara tip yang saya boleh kongsi ialah;
Peringkat semaian, tanam dan baja
1. Dapatkan serai yang lebihan anda beli di kedai atau pasar raya. Biasanya, akar sudah tiada sebab dibuang oleh pembekal. Tiada masalah, sahabat tetap boleh rendamkan ke dalam air kosong. Proses ini bertujuan untuk menggalakkan akar baru tumbuh atau bertunas. Kebiasaanya, mengambil masa 4 sehingga 5 hari.
2. Setelah akar keluar, bolehlah ambil beberapa batang dan tanam terus ke dalam tanah. Kaedahnya, saya selalu tanam secara SERONG atau lebih tepatnya pada sudut 45 darjah. Tujuan, untuk lebih cepatkan pokok membesar.
3. Kedalaman tanam ke tanah tidak perlu dalam. Sekadar menutup akar dan tidak perlu sampai menutup perut serai.
4. Jenis tanah pula, jangan guna yang terlalu poros. Pada peringkat awal, saya akan siram sehari dua kali. Sehingga stabil dan mula menampakkan daun-daun baru.
5. Pembajaan tidak perlu terlalu kerap, sekadar dua minggi sekali sama ada menggunakan baja berbentuk serbuk seperti tahi ayam, kambing, baja butiran seperti baja NPK 15:15:15 atau baja berbentuk cecair seperti baja ab.
6. Pokok serai yang matang, biasanya mengambil masa selama 5-6 bulan. Tapi, saya punya dah boleh guna untuk masak tak sampai 5 bulan pun.
Kawalan serangga
Pokok serai pun ada serangan mahkluk perosak seperti bena putih dan kulat. Justeru, boleh gunakan semburan organik seperti cuka kayu sambil diselikan dengan semburan yang telah dipelajari dari group ini. Iaitu menggunakan air rebusan cengkih, taburan kunyit atau sebagainya.
Selain itu, dalam 3-4 bulan sekali saya akan buat pemangkasan daun secara “ringan”bertujuan memastikan cahaya matahari sampai ke tengah rumpun. Ianya bagi mengelakkan rumpun serai terlalu lembap disebabkan daunnya terlalu lebat sehingga menutup pangkal.
Apabila pangkal terlindung dari cahaya matahari, pokok mudah menjadi lembab dan serangga seperti pengorek batang menyerang dan bena putih boleh bersarang.
Itu sahaja perkongsian ringkas tentang semaian, tanaman, pembajaan, dan penjagaan pokok serai. Diharap dapat membantu sahabat di luar sana.
Semoga bermanfaat
Sumber: Mohd Amri
Subscribe juga YouTube channel Vanilla Kismis untuk video menarik.
Bila Naik Tembok Melibatkan Rumah Jiran, Ini Perkara Penting Kena Ambil Kira

Isi Kandungan
ToggleBila duduk rumah teres ramai yang akan membina dinding atau menaikkan tembok agar kawasan rumah lebih privacy.
Tapi boleh jadi juga kerana tembok ini juga ada jiran bermasam muka atau tidak puas hati. Mana tidaknya bahagian dinding tuan rumah cantik tapi dinding sebelah jiran buat cincai saja, malah ada yang tak ratakan dengan simen pun.
Berkongsi pandangan sebagai seorang kontraktor, Mahanom Mohammad menerangkan etika buat kontraktor mahupun tuan rumah sendiri bila membina tembok ini.
Etika kontraktor bila tapak melibatkan jiran
Apabila pelanggan kita minta bina dinding pembahagi sempadan mereka dan jiran, satu perkara yang tidak dapat elak adalah, memasuki kawasan jiran. Untuk?
Untuk memastikan sisa binaan kerja tidak mengotorkan rumah jiran hingga mengancam keselesaan hidup mereka pula.
Bukan itu sahaja. Menaikkan dinding melibatkan kerja menyusun bata dan mengikat bata-bata yang disusun dengan bancuhan mortar, yang diantara bahan utamanya adalah pasir dan simen.
Kerana itulah, dalam teknologi binaan, batu bata yang disusun dan diikat dengan mortar tadi, permukaan dinding itu perlu dilepa iaitu di tutup dengan satu lapisan simen, sebelum ia dilicinkan dan di cat cantik.
Ini bukan sahaja untuk melindungi ikatan dan susunan bata itu dari terdedah kepada panas, hujan dan cuaca yang melampau.
Bahkan dengan melepa permukaan batu bata tadi, ia juga menghalang serpihan partikel yang rosak (akibat dedahan iklim) dan terbang terlepas ke udara. Dan sudah pastilah akan memasuki rongga-rongga penafasan mereka yang dekat padanya, iaitu jiran atau haiwan peliharaan mereka.
Lepa dan cat sekali bahagian rumah jiran
Saya selalu jumpa, apabila seorang pemilik rumah hendak menaikkan tembok dinding, mereka hanya melepa dan mengecat cantik permukaan dinding dalam kawasan rumah mereka sahaja.
Sementara permukaan dinding di bahagian rumah jiran, dibiarkan sahaja tidak dilepa.
Maka terdedahlah si jiran dengan partikel-partikel mortar dan bata yang tidak ditutup ini. Jangan begitu kawan.
Nasihatkan pelanggan kita untuk melepa juga permukaan dinding rumah jiran. Lebih manis jika mengecatnya juga dengan warna yang jiran suka.
Inilah etika dalam kerja. Tidak meletakkan untung semata-mata, tetapi memikirkan juga keharmonian pelanggan kita dengan jiran sebelah mereka.
Bila hendak bina rumah orang, binalah seperti kita bina rumah untuk ibu bapa kita. Bila kerja tersebut melibatkan kawasan jiran, buatlah kerja seolah jiran itu, adalah kita sendiri.
Hari ini, kita lawat tapak.Tapak ubahsuai adalah rumah sebelah, tapi yang di lawat tapak hari ini adalah kerja-kerja yang melibatkan rumah jiran pelanggan kita.
Info ekstra: Sebelum memulakan kerja menaikkan tembok sebaiknya maklumkan dulu kepada jiran.
Sumber: Mahanom Mohammad