
Cuaca panas macam sekarang ni kita memang nak minum air sejuk saja. Terasa segarnya dan salah satu air yang memang nikmat bila minum waktu cuaca bahang adalah air tembikai.
Nak lagi segar kita tambah dengan lemon dan laici, macam resepi yang dikongsi oleh Ben Safwan ini. Terus rasa nak cari tembikai.
Bahan-bahan:
1.0 kg tembikai ( ditimbang termasuk kulit )
1 tin laici
1 botol air lemon (Houseboom)
Cara membuat:
1. Masuk tembikai dalam pengisar, letak air lemon, kisar dan tapis untuk buang sedikit hampas/buih. Lebih kurang 1/3 hampas untuk elak dari jus pekat bersalut.
2. Tambah air laici tin dan boleh letak ais.
3. Tak perlu tambah gula sebab dah cukup dah manis dari air-air ni semua.
Siap!
Selamat mencuba.
Sumber: Ben Safwan
Onde-Onde Hijau Dah Biasa, Kita Buat Warna Biru Dari Bunga Telang. Bukan Cantik Saja Tapi Berkhasiat

Warna hijau dah biasa, kita buat pula onde-onde atau buah Melaka warna biru dari bunga telang. Kalau di rumah ada pokok bunga ini boleh manfaatkan.
Bukan saja cantik tapi juga ada khasiat tersendiri. Bunga telang ini mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi dan bermanfaat pada kesihatan rambut dan juga kulit.
Selain itu khasiat antioksidan ini juga berkemampuan untuk menstabilkan kadar gula dalam darah bagi pesakit diabetes.
Jika nak cuba buat onde-onde bunga telang ini boleh ikut perkongsian daripada Siti Khairun Nur Akmal.
Onde-onde dari bunga Telang, cantik dan ada khasiat
Bahan-bahan:
2 cawan tepung pulut
4 sudu besar tepung beras
30 kuntum bunga Telang(rebus bunga & tapis ambil air sahaja & sejukkan)
Gula melaka (dipotong kecil)
1 biji kelapa muda parut (putih sahaja)
Sedikit garam (gaul dengan kelapa parut)
Sedikit air kapur
3 helai daun pandan (disimpul)
Cara membuat:
1. Kukus sebentar kelapa parut supaya tahan lebih lama. Kemudian gaulkan bersama sedikit garam.
2. Bancuh tepung pulut, tepung beras dengan air Bunga Telang & air kapur.
3. Gaul sedikit demi sedikit sehingga adunan tidak melekat di tangan.
4. Ambil adunan sebesar ibu jari dan leperkan. Masukkan gula Melaka yang dipotong kecil di tengah adunan.Tutup adunan kemas dan bulatkan sehingga sekata.
5. Panaskan air di dalam periuk bersama simpulan daun pandan sehingga mendidih. Masukkan bebola tepung tadi (api sederhana).
6. Apabila bebola timbul di permukaan air, bolehlah diangkat dan ditoskan. Gaul bersama kelapa parut ketika onde-onde masih panas.
Selamat mencuba.
Sumber: Siti Khairun Nur Akmal
Tanam Sendiri Cendawan Tiram, 4 Hari Dah Boleh Tuai & Boleh Kutip Hasil Banyak Kali

Seronok ‘tanam’ cendawan tiram macam ni, kalau lihat perkongsian Mysarah Mk 4 hari tanam dah boleh tuai. Lagi best lepas tu buat cendawan celup tepung.
Bagi yang suka makan cendawan tiram ini boleh cuba tanam sendiri. Langkah penjagaannya boleh ikut perkongsian Mysarah. Tapi sebelum itu katanya beli dulu bongkah cendawan ini. Boleh beli secara online saja, ada banyak pilihan.
Penjagaan bongkah cendawan tiram
Bongkah cendawan ini boleh beli di Shopee. 4 hari saja dah boleh tuai, boleh tengok gambar-gambar yang dirakam ikut perkembangan cendawan.
Saya kongsikan juga cara penjagaan bongkah cendawan ini yang diperoleh dari penjualnya sendiri.
1. Letak bongkah di tempat yang lembap dan teduh cahaya matahari yang sikit). Saya letak atas rak, bawah sinki yang bertutup tapi buka sikit pintu untuk pengudaraan.
2. Setelah bongkah sudah matang (putih keseluruhan):
2(a)– Buka penutup dan spray air di sekeliling cendawan 3 kali sehari, selepas 7-10 hari, cendawan akan tumbuh.
– Saya spray sekali saja cuma perlu letak kain lembap atas bongkah cendawan & letak 1 bekas berisi air berdekatan bongkah supaya bongkah sentiasa lembap.
– JANGAN sembur air terus di mulut bongkah untuk mengelakkan tumbuh kulat hijau.
– Selepas buka penutup, kalau ada nampak seperti kulat lain pada mulut bongkah korek buang kulat dulu kemudian dan :
2(b) -Tutup semula dengan penutup rehatkan selama 7 hari (Semasa tutup, tak perlu siram air lagi). Selepas itu ikut langkah 2(a) di atas.
3. Selepas petik cendawan, korekkan sisa akar yang tertinggal dan ikut langkah 2(b) di atas.
4. Selepas 7 hari, ikut langkah 2(a) lagi di atas, cendawan akan keluar lagi. Begitulah ulang prosesnya 2(b) & 2(a) iaitu :
Selepas korek, rehat 7 hari tutup penutup dan jangan siram. Dalam masa 7 hari cendawan akan mula tumbuh, kemudian boleh tuai. Selepas tuai buat lagi proses korek sisa akar.
INFO
- Cendawan dari bongkah boleh dituai 6-8 kali.
- Untuk yang separuh matang, perlu tunggu 2-3 minggu baru boleh penutup
- Jika cendawan tidak keluar dalam masa 2 minggu, mungkin mulut tersumbat dengan benih, guna sudu yang bersih korek biji benih dan tutup 7 hari baru buka.
Seronok tengok cendawan tumbuh, hari-hari belek. Kepada yang belum pernah tanam boleh cuba, best. Harga pun tersangatlah murah. Saya beli bongkah ini tahun lepas saya beli dan selepas 9 bulan masih lagi beri hasil.
Jika nak cuba tanam cendawan tiram, bongkahnya boleh beli di SINI
Selamat mencuba.
Sumber: Mysarah Mk
Artikel berkait: Tanam Sendiri Cendawan Kukur, 7 Hari Dah Boleh Makan
Sukatan Bahan Masak Mi Goreng Untuk 60 Orang Makan

Bulan Syawal ini ramai yang buat rumah terbuka atau atau ajak sahabat handai datang ke rumah. Untuk acara begini ada yang pilih untuk masak sendiri hidangan.
Tapi untuk masak sendiri dalam kuantiti banyak bukan semua tahu. Jika salah satu menu adalah mee goreng boleh gunakan resipi perkongsian Nur Ismail. Resipi ini dah ada sukatan untuk 60 orang makan. Jadi boleh ikut saja.
Cara masak mi goreng untuk 60 orang makan
Bahan-bahan:
12 bungkus mi kuning
60 ekor udang sederhana besar
4 bungkus fishcake -potong nipis
2 kilo sawi Cameron -potong kecil
1 kilo kobis -potong kecil
20 keping tauhu -digoreng dan potong kecil
400 gram minyak masak
1/2 kg bawang besar -kisar halus
2 labu bawang putih -kisar halus
400 gm cili giling
400 gm sos tomato
300 gm sos cili
400 gm kicap manis
6 SB kicap pekat
6 SB gula
4 SB garam
12 SB stok ayam
800 gram air
Bahan hiasan
12 biji telur -goreng dadar dan potong halus
RM5 daun sup dan daun bawang -potong halus
1 paket sederhana bawang goreng
Cili merah -dihiris
Cara membuat
1. Panaskan minyak dalam kuali
2. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga naik bau
3. Masukkan cili giling, kacau hingga naik minyak
4. Masukkan air 200gm
5. Masukkan batang sawi, kacau hingga layu
6. Masukkan sos tomato, sos cili, kicap manis, kicap pekat, gula, garam, stok ayam, air kacau rata.
7. Masukkan udang dan fishcake, kacau rata
8. Masukkan sawi, kobis, mi dan tauhu
10. Kacau lagi dan kaup balik hingga sebati dan masak
INFO
- Saya goreng 2 kali jadi semua bahan-bahan dibahagi dua.
- Masukkan dalam bekas hias dengan hirisan telur dadar, daun sup, daun bawang, bawang goreng dan hirisan cili merah
Selamat mencuba
Sumber: Nur Ismail