Minat sangat menanam sayur tapi tiada ruang untuk bercucuk tanam. Ini selalunya dilema mereka yang tinggal di apartmen, flat atau rumah yang tiada ruang untuk berkebun.
Tapi idea perkongsian Yuziyana Yusop membolehkan anda meneruskan minat bercucuk tanam ini.
Dia berkongsi cara menanam kangkung menggunakan mangkuk penapis yang dipraktikkannya.
Bukan saja kangkung tapi cara ini juga boleh digunakan untuk menanam kesum, bayam, salad, sawi, pegaga, selom, kailan oregano, pudina, bayam brazil dan banyak lagi.
Ads
Langkahnya boleh ikut cara ini ya:
1. Ambil benih kangkung dan rendam selama 24 jam. Boleh dibeli di kedai menjual benih atau baja.
2. Letak tapis atas baldi kecil
3. Tuang sabut kelapa hancur atau cocopeat dalam tapis.
Ads
4. Taburkan benih kangkung yang direndam sebelum ini.
5. Selepas itu tutupkan benih dengan selapis nipis cocopeat lembap.
6. Kemudian tutup benih selama dua hari.
Tujuan benih ditutup adalah untuk mengekalkan kelembapan sabut dan cepatkan benih bertunas.
7. Bila sudah bercambah seperti dalam gambar bolehlah letakkan air baja dan terus dedah kepada cahaya matahari.
Daun kuning itu bila terkena matahari akan perlahan-lahan bertukar jadi hijau. Untuk permulaan akar kangkung masih pendek jadi pastikan air mesti kena hingga bahagian bawah tapis.
8. Ini gambar hari kelima
Air baja perlu ditambah, bukan ditukar. Air baja akan semakin susut diserap oleh akar. Penggunaan baja: Minggu pertama – 10ml baja AB + 2 liter air, minggu kedua – 15ml baja AB.
Ramai yang tanam pokok labu di rumah tapi mengeluh tak berbuah. Ada bunga tapi tak jadi buah.
Sebenarnya untuk memastikan pokok labu mengeluarkan hasil, kita boleh bantu proses pendebungaan supaya bunga labu jadi buah. Dengan kata lain kita ‘kahwinkan’ bunga pokok labu. Caranya dikongsi oleh Ashraf Shuib.
Cara ‘kahwinkan’ bunga pokok labu supaya jadi buah
Ini bunga labu. Kalau biar saja bunga labu itu jadi buah, besar kemungkinan buah tak jadi. Jadi, saya kahwinkan bunga labu tu.
Kena ‘kahwin’ waktu pagi, dalam jam 8 pagi hingga 10 pagi. Masa ini bunga baru kembang. Boleh tengok langkah yang saya buat untuk kahwinkan bunga labu pada setiap gambar di bawah.
Masa pokok sedang membesar, pokok akan keluarkan bunga jantan dulu, kena tunggu sampai bunga betina keluar, baru boleh kahwinkan bunga tu.
1. Inilah bunga labu betina. Nampak tak bahagian bawah kelopak bunga macam bentuk bulat. Bahagian itu dipanggil ovul.
2. Ini pula bunga jantan. Bawah kelopak bunga tiada bulat. Berbeza dengan bunga betina.
3. Cara nak kahwinkan bunga labu, kena petik bunga jantan.
4. Buang kelopak bunga jantan, nanti dapat bahagian tengah.
5. Sapu debunga bunga jantan pada bahagian tengah bunga betina. Seeloknya guna 1 bunga jantan untuk 1 bunga betina. Atau 1 bunga betina, banyak bunga jantan pun boleh.
6. Ini rupa bahagian dalam bunga betina. Belum sapu dengan debunga jantan lagi.
Ini bahagian dalam bunga betina yang dah disapu dengan debunga jantan.
7. Tunggu beberapa hari. Kalau bunga betina tak kuning, maksudnya ‘perkahwinan’ bunga labu itu menjadi.
Buah labu yang sedang membesar.
Selain pokok labu, boleh lakukan juga pada pokok sayuran berbuah lain seperti petola, timun, peria dan sebagainya. Semoga bermanfaat.
Bagi memastikan tanaman yang kita tanam di rumah subur, faktor tanah atau media cukup penting. Selalunya kita guna tanah campuran yang kita beli terus di nurseri. Tanah jenis ini memang membantu tanaman kita subur.
Tapi daripada beli apa kata kita buat sendiri tanah campuran ini. Lagi jimat dan cara menyediakannya juga mudah. Bagi yang banyak bercucuk tanam boleh ikut perkongsian Azuan Abdullah untuk membuatnya.
Cara buat tanah campuran yang paling mudah
Nisbah untuk buat tanah campuran ini tiada yang tepat sebenarnya, sebab ia bergantung kepada jenis dan tekstur tanah top soil tersebut.
Kebiasaan yang selalu saya buat adalah nisbah 2:1:1 dan 1:1:1. Yang saya ajar ini adalah nisbah 2:1:1. Ianya bermaksud 2 bahagian tanah top soil, 1 bahagian pasir dan 1 bahagian bahan organik.
Ini bahan-bahan yang digunakan:
Tanah top soil
Pasir halus (nak guna cocopeat pun boleh)
Tinja lembu kering (nak guna bokashi, kompos atau lain-lain bahan organik pun boleh)
EM atau Plant Booster
Cara membuat:
1. Ambil 2 bahagian tanah top soil. Tanah ini saya ambil depan rumah saja.
2. Ambil 1 bahagian pasir halus. Ini pasir lebihan buat pagar rumah.
3. Ambil 1 bahagian tinja lembu kering. Pastikan ianya dah betul-betul kering (boleh juga guna tinja ayam, kambing bokashi atau kompos).
4. Gaulkan ke 3-3 bahan tadi hingga sebati.
5. Isikan campuran yang dah siap di dalam bekas tanaman yang kita nak guna. Saya guna tong cat terpakai saja.
6. Siram tanah campuran tadi dengan plant booster atau EM. Kadar pencairan adalah 15-20 ml untuk 1 liter air. Saya siram lebih kurang 2 liter untuk satu tong cat.
7. Jika tak ada EM atau Plant Booster, tak jadi masalah. Siram saja dengan air kosong.
8. Biarkan tanah selama satu minggu. Lepas satu minggu boleh tanam dengan pokok yang kita suka.
9. Media campuran yang lebih, saya simpan dalam tong sampah hitam sebagai stok. Tutup dan simpan ditempat redup. 2 minggu sekali siram dengan plant booster. Senang bila nak guna, terus ambil.
10. Pastikan tong cat dan tong sampah tadi ditebuk dibahagian bawah. Jika tak tebuk, tanah campuran kita akan rosak nanti.
Nisbah tanah campuran 2:1:1 ini sesuai untuk semua jenis tanaman kecuali nanas MD2. Untuk nanas MD2, saya guna nisbah 1:1:1.
Kelebihan guna tanah campuran
Kenapa bila berkebun dapur, saya suka guna tanah campuran berbanding media lain. Sebabnya bila guna tanah campuran, kita boleh jimat air. Tak ingat siram dua hari pun pokok steady jer. Tak layu.
Baja pun boleh jimat juga. Macam pokok di rumah saya, hanya 2 kali seminggu diberi air baja. Jimat tak?
Bekas plastik macam ni mesti banyak di rumah kita. Kadang-kadang bila banyak sangat tak tahu nak buat apa. Sudahnya kita buang.Bagi yang suka bercucuk...