
Tumpahan minyak, kicap atau sos di lantai antara kotoran yang paling leceh untuk dibersihkan.
Habis satu dapur perlu bersihkan kalau dibiarkan terutamanya minyak. Penat dan mood memasak pun boleh spoil. Ya lah paling tidak dua kali kena mop.
Tapi sebenarnya ramai suri rumah tak tahu ada cara yang mudah untuk bersihkan tumpahan jenis cecair ini.
Tak perlu ambil mop atau guna air dan sabun pun namun cukup berkesan untuk kembalikan kebersihan lantai.
Teknik bersih tumpahan guna tepung
Apa yang diperlukan cuma tepung gandum saja. Teknik ini dikongsi oleh Chef As – As Homemade. Caranya seperti berikut:
1. Sekiranya kicap, minyak, sos atau sebarang jenis cecair tumpah di lantai jangan terus mop. Cara ini boleh menyebabkan kotoran makin merebak ke bahagian lain.
2. Teknik paling berkesan untuk bersihkan tumpahan jenis cecair ini adalah dengan menggunakan tepung gandum.
3. Taburkan di atas tumpahan dengan rata lalu biarkan seketika supaya tepung dapat menyerap tumpahan.
4. Selepas itu menggunakan sarung tangan, kaut semua kesan kotoran yang sudahpun bergumpal dengan tepung.
5. Ketika ini kerja pembersihan akan jadi lebih senang, cuma perlu kaut gumpalan tepung tadi untuk dibuang.
6. Selepas itu boleh dilap atau dimop lantai jika mahu. Untuk lebih mudah, boleh lihat video perkongsian Chef As.
Sumber: Chef As – As Homemade
Tip Simpan Kentang Elak Bertunas Awal & Tahan Lama. 2 Bulan Pun Masih Elok

Isi Kandungan
ToggleKentang memang selalu kita guna dalam masakan, sebab itu selalu saja kita beli lebih sebagai stok.
Tapi masalahnya bila simpan kentang lama sikit mulalah bertukar warna dan naik tunas. Kentang begini tak elok dimakan kerana sudah mengandungi toksin.
Baca artikel berkait: Jangan makan kentang yang dah bertunas, warna hijau kerana tinggi toksin
Bagaimana pun ada cara yang boleh dipraktikkan supaya kentang yang disimpan ini tidak bertukar warna dan bertunas. Jika betul cara simpan lebih 2 bulan pun masih elok lagi.
Kaedah penyimpanan ini dikongsi oleh Puan Yatie Eimra.
Tip simpan kentang elak bertunas awal
Tempoh hari saya ada post tentang baki kentang yang dah 2 bulan tapi masih elok & hanya sebiji-2 je baru nak bertunas. Sebelum ini, tak sampai 2 minggu pun semuanya dah bertunas.
Sekarang memang dah jarang sangat alami masalah kentang bertunas awal.. Alhamdulillah, hari ni saya berkesempatan share sikit tip kentang. Semoga dapat dimanfaatkan.
Kentang kalau betul cara simpan, boleh bertahan hingga 4 bulan walaupun hanya simpan di dapur.
- Jangan simpan kentang bersama bawang merah/bawang putih kerana bawang² ini hasilkan gas yang cepatkan kentang bertunas.
2. Kentang perlukan pengudaraan yang cukup. Sebaik-baiknya simpan kentang dalam bakul/jaringan supaya cukup aliran udara.
3. Jangan simpan kentang bersebelahan dapur gas/tempat memasak kerana suhu panas akan cepatkan kentang bertunas. Wap-wap terhasil pula akan sebabkan kelembapan udara tinggi & jadikan kentang mudah berkulat/busuk. Jika ruang dapur terhad, pastikan tempat simpanan kentang tak kena wap panas ketika masak.
4. Penting untuk pastikan kentang disimpan di tempat yang kering tapi tak terlalu terang atau kena cahaya matahari/lampu secara direct. Jika kentang mula bertunas & berwarna kehijauan, itu tandanya kentang terdedah pada cahaya lampu.
Kalau korang perasan, bukan semua kentang bertunas akan jadi hijau. Biasanya kentang jadi hijau sebab kena banyak cahaya. Warna hijau tu sebenarnya klorofil, terhasil akibat proses fotosintesis.
5. Jika tempat simpanan kentang korang agak terang & kena cahaya yang banyak, boleh juga tutup sedikit lapisan atas kentang dengan kain guni/burlap ataupun kain muslin.
Tujuannya supaya cahaya tak kena secara langsung pada kentang tapi dalam masa yang sama kentang masih dapat pengudaraan yang baik. Sesekali periksa keadaan kentang & gunakan kentang yang mula bertunas dulu.
Jangan simpan dalam peti sejuk
Sesetengah orang gemar simpan kentang mentah dalam peti sejuk untuk panjangkan hayat kentang. Tapi sebenarnya bila kentang disimpan dalam peti sejuk (terutama dalam tempoh yang lama), suhu sejuk akan tukarkan kandungan kanji dalam kentang kepada gula. Akibatnya…
- Rasa kentang akan jadi lebih manis
- Kentang akan berwarna kehitaman semasa dimasak akibat gula dalam kentang dikaramelkan.
- Kentang yang disimpan dalam peti sejuk mempunyai kandungan gula yang tinggi, jadinya cara ini sangat tak digalakkan bagi mereka yang perlu kawal pengambilan gula terutama yang mengalami masalah diabetes, ibu² mengandung yang mengalami GDM, dan lain-lain.
- Kandungan gula yang tinggi juga boleh menyebabkan kandungan toksin akrilamida lebih tinggi (bila kentang dimasak dengan suhu tinggi)
INFO: Saya simpan kentang dalam bakul & anyam sendiri jer penutup dari tali hemp dengan bahagian tepi (atas) dibiarkan kosong. Korang boleh cover sikit kentang dengan kain guni/kain muslin tapi pastikan tak mengganggu pengudaraan.
Sumber: Yatie Eimra.
Nak Buat Kebun Durian Tak Susah, Cuma Jangan Gelojoh Kena Sediakan 7 Perkara Ini Dulu Baru Tanam

Nak Buat Kebun Durian Tak Susah, Cuma Jangan Gelojoh Kena Sediakan 7 Perkara Ini Dulu Baru Tanam
Bila tiba musim durian dan harga durian pulak mahal, memang ramai yang memasang hasrat tanam sendiri raja buah ini.
Kalau dah ada tanah yang sesuai apa salahnya, terus buat kebun tanam dalam jumlah yang banyak. Tapi perlu diingat tanam durian ini bukanlah semudah terus tanam saja, ada aturannya.
Sebagai panduan asas boleh ikut perkongsian pengusaha kebun durian moden dan farmstay The Kebun.
Panduan tanam durian, sedia 7 perkara ini sebelum tanam
Jangan seronok sangat nak menanam, tanam mudah saja, tak sampai 5 minit boleh tanam 1 pokok. Tapi ini cara yang kami syorkan untuk mereka yang nak tanam durian.
1. Pastikan lubang tanaman disiapkan 2 minggu awal, korek, campurkan baja organik, campurkan CIRP (baja asas) sebagai penggalak akar.
2. Sebelum itu lagi, pastikan pagar semua dah siap, jangan tanam kalau belum sempurna nanti, lembu kerbau kambing masuk maakn pulak anak durian.
3. Siapkan sistem pengairan, “running” kan air seminggu dua, “hidupkan” busut.
4. Sebelum itu lagi, “harden” kan anak benih, jemur dan gasak di bawah panas matahari, tapi pastikan air dalam polibeng cukup jangan kering nanti mati pulak anak pokok.
5. Semasa tanam pastikan polibeg dibuka sempurna, jangan pecahkan ‘rootball’, tengok arah matahari, arahkan pokok yang kanopinya banyak daun ke arah matahari. Kemudian dapatkan microreza, masukkan sekali dalam lubang tanaman. Bakteria ini baik untuk simbiosis akar dan bakteria.
6. Tanam jangan dalam sangat, naikkan “1” aras polibeg dari tanah sekeliling. Walaupun tanam atas busut, tapi naikkan juga buat macam busut kecil, cara ini mempercepatkan akar banir keluar.
7. Lepas tanam, “netting” kan atau teduhkan sehingga 2,3 kali pusingan berpucuk, selepas itu buka netting dan mulakan pembajaan organik.
Nota: Nak tanam durian tak susah tapi sebelum tanam kena sediakan apa yang sepatutnya disediakan. Jangan gelojoh.
Semoga bermanfaat.
Sumber: The Kebun
Cara Selesaikan Masalah Tanah Pusaka Yang Banyak Nama Supaya Tak Terjadi Konflik Adik Beradik

Tanah pusaka sering jadi isu terutama kalangan adik beradik, pada masa yang sama sering juga dilengah-lengahkan urusannya. Tambah lagi kalau tanah pusaka ada di kampung dan banyak nama yang nak dibahagi, dengan bahagian makin kecil.
Bagi yang berdepan masalah ini berikut adalah cadangan dari peguam Salkukhairi Abd Sukor untuk menyelesaikannya. Jangan sampai berbalah sesama adik beradik kerana perihal tanah.
1. Isu bahagian tanah pusaka geran kongsi yang semakin mengecil apabila penama asal meninggal dunia adalah isu yang banyak dihadapi oleh masyarakat kita hari ini.
2. Apabila penama asal meninggal dunia, bahagiannya akan di turun milik kepada waris- waris mereka.
3. Kesannya, di dalam geran tanah tersebut semakin banyak penama yang masing-masing akan memiliki bahagian yang semakin kecil saiznya.
4. Keadaan ini akan menyukarkan proses untuk mengurusniagakan dan membangunkan tanah tersebut. Bahkan ianya mungkin tidak lagi praktikal untuk dibangunkan termasuklah untuk dibuat pecah bahagian.
5. Ini kerana untuk melakukan sesuatu urusniaga atau membangunkan tanah tersebut, persetujuan daripada setiap penama adalah diperlukan.
6. Proses untuk mendapatkan persetujuan tersebut akan menjadi lebih sukar sekiranya ada penama yang tidak setuju atau tidak memberi kerjasama sepenuhnya.
7. Akhirnya tanah tersebut terbiar begitu sahaja. Masing-masing buat tak tahu dan enggan bertanggungjawab.
Bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini?
Di sini saya gariskan beberapa cadangan yang mungkin boleh dilakukan:
I. Lantik seorang wakil kuasa (Power of Attorney – PA)
Lantik seorang wakil kuasa(PA) di kalangan penama tersebut yang boleh dipercayai yang akan dipertanggungjawabkan untuk menguruskan segala perkara berkaitan tanah tersebut.
Melalui cara ini semua penama akan tandatangan satu Surat Wakil Kuasa (PA) untuk memberi kuasa kepada wakil kuasa tadi untuk menguruskan urusan berkaitan tanah tersebut.
Pun begitu kuasa PA ini perlu diperhalusi dan dihadkan setakat mana yang perlu agar kuasa PA itu tidak terlalu luas sehingga menyebakan beliau salah guna kuasa termasuklah memindahmilikkan tanah tersebut kepada dirinya sendiri.
II. Semua penama jual bahagian masing-masing
Semua penama jual bahagian masing-masing kepada seorang atau 2 orang penama yang berkemampuan dan banyak wang yang akan membeli bahagian- bahagian tanah tersebut. Harga jualan sewajarnya mengikut harga pasaran semasa atau harga yang dipersetujui bersama.
Sekiranya PA telah ditandatangani, hanya penama yang membeli dan wakil kuasa sahaja yang akan tandatangan SNP dan Borang Pindah milik. Tak perlu lagi dapatkan tandatangan daripada semua penama. Pun begitu setiap penama wajar dimaklumkan sebelum proses jual beli dan pindah milik itu dilakukan.
Sewajarnya proses jual beli ini diuruskan melalui seorang peguam yang akan bertindak sebagai peguamcara urusan jual beli dan sebagai stakeholder untuk mengagih-ahihkan pembayaran harga jual beli kepada setiap penama mengikut bahagian masing-masing.
III. Tubuhkan koperasi atau syarikat anak beranak.
Tubuhkan koperasi atau syarikat anak beranak di mana tanah tadi akan menjadi aset kepada syarikat atau koperasi tersebut.
Melalui cara ini setiap waris akan diberikan sijil saham mengikut bahagian masing-masing dan tanah tersebut akan dimajukan atau diusahakan dengan sesuatu aktiviti yang dapat menjana pendapatan kepada syarikat atau koperasi tersebut.
Setiap setahun sekali, hasil keuntungan perniagaan daripada tanah tersebut akan dibahagi-bahgaikan kepada setiap penama mengikut bahagian saham masing-masing.
IV. Majukan tanah tersebut sebagai projek perumahan
Boleh juga majukan tanah tersebut sebagai projek perumahan sama ada melalui syarikat atau koperasi adik beradik yang ditubuhkan tadi atau boleh JV dengan pemaju yang dipercayai.
Jika majukan sendiri, boleh serah balik tanah tadi kepada kerajaan dan mohon dikeluarkan geran individu yang berasingan dan seterusnya boleh bina rumah atas tanah-tanah tersebut untuk dijual.
Hasil jualan sama ada akan dibahagi-bahgaikan mengikut bahagian masing-masing atau boleh dimasukkan sebagai pendapatan syarikat dan setiap penama akan dapat keuntungan setiap tahun hasil daripada pemajuan dan penjualan rumah rumah tersebut.
8. Walau apapun, ini hanyalah sekadar cadangan sahaja. Ianya mudah diperkatakan tetapi tidak mudah untuk dilaksanakan.
9. Perancangan yang teliti dan rapi serta sikap percaya satu sama lain dan saling jujur dan amanah di kalangan setiap penama dalam melaksanakan perancangan tersebut di atas amatlah diperlukan.
10. Sifat ego dan tamak haruslah dibuang jauh jauh. Jangan fikir untuk untang jangka masa pendek sahaja.
11. Yang penting, melalui cadangan ini masing-masing akan dapat keuntungan jangka masa panjang yang lebih besar dan berbaloi berbanding masing-masing berbalah soal berebut hak masing-masing terhadap bahagian masing-masing yang sekangkang kera tersebut.
Sumber: SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Timbalan Presiden
K-LITERASI